KUMPULAN nasyid, Rabbani tidak pernah berhenti daripada berdakwah dan menyebarkan syiar Islam menggunakan platform industri hiburan mengikut cara mereka yang tersendiri.
Dalam mengatur langkah mengembangkan lagi perjuangan dakwah mereka, pelontar lagu Pergi Tak Kembali ini menubuhkan sebuah agensi Rabbani Travel & Tours Sdn. Bhd. (RTT) yang menawarkan pakej umrah dan ziarah.
Menurut ketua kumpulan Rabbani, Mohd. Asri Ubaidullah atau juga dikenali sebagai Asri Ubai, selain daripada pakej umrah dan ziarah, RTT ditubuhkan atas dasar untuk lebih mendekati peminat.
“Berdakwah ini ada macam-macam cara. Salah satu daripadanya ialah mendidik orang ramai dengan lagu-lagu kami yang berunsurkan kerohanian.
“Maka itu, apabila RTT ditubuhkan, kita menawarkan pakej umrah dan ziarah.
“Menariknya pakej ini ialah seorang daripada anggota Rabbani akan turut serta dalam rombongan yang mengerjakan umrah atau pun ziarah sekiranya mempunyai kelapangan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran RTT di Kompleks Diamond, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Asri berkata, sebagai permulaan, RTT menawarkan pakej ziarah dan umrah RM5,350 seorang untuk tempoh 15 hari.
“Harga ini rendah kerana kita tidak mahu membebankan mereka yang berhajat untuk mengerjakan umrah,” katanya.
Asri yang juga merupakan salah seorang Ahli Lembaga Pengarah RTT menambah, selain ziarah ke tempat-tempat menarik, mereka juga mengatur sesi pendidikan mengenai Islam antaranya ceramah dan tazkirah.
Cuma, katanya, apabila memberikan didikan tentang agama, anggota Rabbani atau pun kakitangan RTT harus memikirkan pendekatan yang terbaik untuk melakukannya.
Dalam pada itu, selain menawarkan pakej umrah dan ziarah, kata Asri, RTT juga bakal tampil dengan tawaran pakej pelancongan dan percutian ke beberapa destinasi popular dalam dan luar negara.
Tambahnya, lokasi luar negara yang terdapat dalam pakej itu nanti adalah ke Vietnam, Turki, United Kingdom, Asia Barat dan negara-negara Asia lain.
No comments:
Post a Comment