id=khairul4189">

Wednesday, February 9, 2011

Misteri klip video TAAP



Barisan tenaga produksi lagu Hanya, runut bunyi untuk filem Tolong Awek Aku Pontianak.


HAMPIR menangis penulis ketika memandu kereta menuju ke Teratak Angah, Kampung Kemensah, Hulu Klang, Selangor baru-baru ini untuk membuat liputan penggambaran klip video lagu Hanya yang merupakan lagu tema filem Tolong Awek Aku Pontianak (TAAP).
Perasaan seram sejuk menyelubungi diri bukan kerana kesejukan dari penghawa dingin kereta tetapi kerana melintasi hutan dengan pemandangan kiri kanan yang gelap-gelita, ditambah pula keadaan jalan yang berlopak membuatkan hati ini tidak tenteram.
Ketika itulah pelbagai imaginasi datang menerpa di minda, sudahlah judul filem klip videonya menyeramkan, penggambaran pula dibuat di tempat 'jin bertendang'. Kalau berlaku apa-apa macam mana?
Sebaik sahaja sampai di lokasi Teratak Angah, pengarah klip video, Shuhaimi Lua Abdullah, 35, memberitahu, penggambaran tidak dapat dimulakan lagi kerana ada pokok tumbang yang hampir merosakkan peralatan penggambaran.
“Semasa kami sampai pada pukul 7 malam tadi, semuanya okay. Tiba-tiba sahaja pokok tumbang. Itulah, ada seorang dua krew mulut celupar. Sampai saja, dia kata, tempat ini seram dan macam-macam.
“Hah! nak jadi cerita, tiba-tiba pokok tumbang menghalang jalan. “Hampir-hampir nak kena lampu yang telah siap dipasang. Nak buat di tempat lain, kurang sesuai dengan jalan cerita,” katanya.
Menurut Shuhaimi, klip video yang menampilkan lagu Hanya, nyanyian Aril AF itu perlu menjalani penggambaran waktu malam kerana ia dibuat berdasarkan jalan cerita filem arahan James Lee.
Selain kisah pokok tumbang, Shuhaimi yang menggunakan kamera definisi tinggi (HD) untuk penggambaran berkata, tiba-tiba set penggambaran jadi gelap apabila tenaga elektrik putus .
“Penggambaran hanya dapat dimulakan pada pukul 8 malam dan berakhir pukul 3 pagi. Selepas itu kami pergi ke Taman Melawati. Dugaan betul, nak buat macam mana, penggambaran perlu di buat waktu malam untuk dapatkan senario alam semulajadi," ceritanya.
Katanya, selain menyanyi Aril turut tampil sebagai stand in untuk watak utama filem itu yang dilakonkan oleh Zahiril Adzim kerana lagu itu dibuat berdasarkan jalan cerita TAAP.
Shuhaimi yang diberi tanggungjawab oleh Tayangan Unggul Sdn. Bhd., untuk mengarah runut bunyi dan The Making of TAAP berkata, lagu ciptaan dan lirik Zaidi itu mengambil masa tayangan selama empat minit.
“Walaupun lagu ini tempoh empat minit tapi ada 17 adegan, selain itu akan diselitkan juga footage dari filem tersebut. Untuk klip video itu, Aril akan dibantu oleh dua pelakon wanita yang juga ‘stand in’ untuk watak Sazzy Falak dan Nurul.
Untuk klip video lagu Hanya itu juga, Aril menggunakan dua pasang pakaian dan solekannya dilakukan oleh Shuhaimi Baharom.
Klip video berkenaan dijangka disiarkan lebih awal daripada tayangan filem bagi tujuanpromosi.
Selain itu, pengarah filem pendek Chukang itu juga sibuk membuat persiapan untuk mengarah program masakan 13 episod yang bakal menampilkan Fizzo Omar sebagai hos.
Dalam pada itu, pengarah berasal dari Bachok, Kelantan itu juga bakal mengarah filem Kita Bukan Tuhan Beb, projek di bawah Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) yang menggabungkan tiga pengarah baru.
Beliau yang pernah berlakon drama Zaharul vs. Zarina dan Zaharul vs Zarina 2 serta Aidilfitri Bulan Syaaban berkata, selain mengarah dia juga menulis skrip drama.
“Saya lebih cenderung menghasilkan drama berunsur kritikan sosial seperti Raja Tom Yam , Sepinya Seorang Perempuan Mualaf Itu dan Cinta Facebook.
“Apa yang saya tulis berdasarkan realiti kehidupan sama ada melalui pemerhatian atau pengalaman orang lain kerana ia mempunyai pengajaran di sebaliknya,” katanya.

No comments:

Post a Comment