HARI Terbuka Finas (HTF) yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sejak tahun 2009 bertujuan merapatkan hubungan agensi kerajaan itu dengan para peminat filem tempatan.
Menerusi HTF 2011 yang akan diadakan hari ini dan esok (12 dan 13 Februari) di Finas, Hulu Klang, Selangor, pelbagai aktiviti diadakan seperti uji bakat mencari pelakon dan pembaca berita televisyen (TV) untuk para pengunjung yang berbakat.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Finas, Mohd. Zulkifli Ab. Wahab berkata, melalui peluang itu para peserta yang berbakat dan terpilih berpeluang menjadi pelakon serta pembaca berita di stesen-stesen TV pada masa depan.
“Tahun lalu HTF hanya mengadakan uji bakat mencari pelakon baru di mana ia disertai 956 peserta. 98 daripadanya telah disenarai pendek dan kita akan serahkan kepada syarikat-syarikat produksi yang berminat dengan mereka.
“Kami akan menjemput wakil-wakil syarikat produksi seperti Tayangan Unggul, MIG dan Line Clear Motion Pictures bagi melihat serta menilai bakat-bakat baru yang menghadiri sesi uji bakat tersebut.
“Daripada situlah mereka boleh memulakan kerjaya sebagai pelakon. Sementara itu, tahun ini kami memperkenalkan pula uji bakat mencari pembaca berita TV dan ia akan dikendalikan oleh RTM (Radio Televisyen Malaysia).
“Mereka yang terpilih pada uji bakat itu juga akan diberi latihan dalam Bengkel Khas Lakonan secara percuma oleh Finas,” katanya pada sidang akhbar HTF 2011 di ibu pejabat Finas, Hulu Klang, Selangor baru-baru ini.
Sesi uji bakat mencari pelakon itu akan dinilai oleh para pelakon berpengalaman seperti Piere Andre, Julia Ziegler, Elly Suriaty dan Radhi Khalid di mana ia akan diadakan di Studio L. Krishnan, Finas pada 12 dan 13 Februari ini mulai pukul 10 pagi.
Sementara uji bakat mencari pembaca berita TV pula akan diadakan di Studio Ho Ah Loke, Finas juga pada 12 dan 13 Februari ini mulai pukul 10 pagi hingga 6 petang di mana ia akan dinilai serta dikendalikan oleh pihak RTM.
Mohd. Zulkifli berharap HTF 2011 akan menarik lebih ramai pengunjung berbanding 6,184 pengunjung pada tahun lalu termasuklah aktiviti-aktiviti lain seperti sesi bergambar dengan artis dan tayangan filem-filem percuma.
“Ini adalah peluang para peminat datang ke tapak HTF 2011 yang diadakan percuma kepada orang ramai dua hari berturut-turut. Jehan Miskin, Scha Al-Yahya, Intan Ladyana, Zizan Raja Lawak antara artis yang terbabit dalam sesi tersebut.
“Turut ditempatkan di HTF 2011 ialah 39 tapak gerai yang menjual dan mempamerkan produk-produk mewakili persatuan artis, syarikat-syarikat koporat, telekomunikasi, makanan dan pakaian,” ujarnya.
Apa pun tayangan filem tempatan percuma berjudul Hantu Kak Limah Balik Rumah, Estet, Crayon, Ngangkung dan Janin akan diadakan pada 12 dan 13 September mulai pukul 2.30 petang hingga 10 malam bakal mencuri tumpuan ramai.
Selain itu dokumentari-dokumentari terbitan Finas berjudul P. Ramlee, Supermokh, Tun Razak, Sudirman dan Fight Master juga akan ditayangkan untuk tontonan orang ramai.
HTF 2011 akan mencipta satu lagi sejarah apabila dua studio iaitu Studio L. Krishnan dan Studio Ho Ah Loke bakal dirasmikan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim pada 12 Februari ini pukul 10.30 pagi.
Tambah Mohd Zulkifli, semua aktiviti itu juga diadakan bagi memberi kefahaman kepada masyarakat tentang peranan Finas dalam usahanya untuk memajukan industri perfileman tanah air sejak ditubuhkan sejak tiga dekad lalu.
“Secara tidak langsung ia mampu membentuk komuniti filem Malaysia untuk jangka masa panjang. Sebab itu, kami memilih tema Filem Citra 1Malaysia yang membawa maksud filem sebagai jendela kehidupan masyarakat,” katanya.
Turut diadakan pada HTF 2011 itu ialah pameran dan demonstrasi berkaitan peralatan-peralatan perfileman, lawatan ke studio-studio milik Finas serta taklimat tentang Dana Industri Kreatif anjuran perbadanan tersebut.
No comments:
Post a Comment