HATINYA bagaikan ditusuk sembilu setiap kali membaca akhbar dan menonton televisyen tentang kes pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi lewat kebelakangan ini.
Detik hatinya, sampai bilakah gejala sosial yang semakin berleluasa di kalangan remaja hari ini akan berkesudahan kerana jika dibiarkan melarat, ia mampu menjejaskan masa depan negara memandangkan remaja merupakan pemimpin untuk generasi akan datang.
Sebagai seorang insan yang cukup prihatin dengan masalah tersebut yang dianggap seperti virus merbahaya, Sheila Rusly sedar dia tidak mampu untuk bergerak seorang diri untuk mengatasinya.
Katanya, memang mustahil untuk menghapuskan gejala sosial tersebut. Malah, kalau ditanya kepada sesiapa waima orang yang tertinggi dalam kerajaan sekali pun, masalah itu memang sukar untuk dihentikan.
Tetapi, sebagai seorang pengkarya, Sheila mempunyai tanggungjawab sosialnya sendiri dalam memberi panduan kepada masyarakat untuk mencari jalan penyelesaian yang lebih rasional.
Atas faktor itu, Sheila menerusi syarikat produksinya, JS Pictures Sdn. Bhd., menerbitkan sebuah drama berjudul Ampunkan Daku yang mampu memberi iktibar serta kesedaran kepada masyarakat berhubung gejala sosial di negara ini.
"Saya harus akui idea untuk menerbitkan drama Ampunkan Daku timbul selepas hampir setiap hari kisah gejala sosial ini dipaparkan di media massa. Memang cukup menyedihkan saya apabila perkara ini bagaikan tiada kesudahan.
"Kesilapan masyarakat kita adalah mereka terlalu cepat menghukum dan bersikap prejudis terhadap remaja terutama gadis yang sudah terlanjur.
"Seharusnya mereka ini perlu diberi didikan dan nasihat dengan cara terbaik agar mereka dapat muhasabah diri untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama.
"Jika mereka mengambil pendekatan yang lebih rasional, pasti isu pembuangan bayi tidak akan berleluasa seperti mana hari ini.
"Saya percaya remaja ini cenderung melakukan perbuatan tersebut berpunca daripada tekanan orang sekeliling juga," kata Sheila ketika memberikan hujahnya berhubung isu yang cukup hangat diperdebatkan itu.
Penerbit wanita prolifik ini ditemui di lokasi penggambaran Ampunkan Daku arahan suaminya, Azman Yahya atau Jinggo di Gombak, Selangor, baru-baru ini.
Untuk menerbitkan drama berat seperti Ampunkan Daku ini, Sheila menjelaskan ia bukanlah satu proses yang mudah kerana semuanya perlu berteraskan fakta yang tepat dan tidak boleh dipandang ringan.
Bagi melancarkan proses penerbitan drama ini, ibu kepada dua orang cahaya mata ini memberitahu, penulis skrip Ampunkan Daku iaitu Rozie Rashid telah membuat penyelidikan di Kem Modal Insan Kewaja yang merupakan pusat pelindungan bagi remaja yang bermasalah di Gombak.
Daripada situ, Rozie mendapat gambaran sebenar tentang kehidupan remaja di pusat berkenaan selain menemuramah para penghuninya untuk mendapat idea sebelum memulakan proses penulisan skrip.
"Tetapi, saya tidak mahu masyarakat dan penonton menganggap drama ini sebagai sebuah ceramah.
"Apabila memperkatakan tentang drama atau telefilem dengan genre seperti ini, kita harus bijak untuk mewarnakan agar ia menjadi lebih dramatik agar penonton tidak bosan untuk menontonnya. Ada cerita dalam drama ini yang menjadi titik permulaan segala-galanya tentang perkara yang berlaku.
"Seperti mana drama-drama terbitan saya sebelum ini, saya percaya Ampunkan Daku dapat diterima dengan baik oleh audiens sementelah drama ini ditayangkan sempena dengan sambutan Maulidur Rasul yang jatuh pada 15 Februari ini," ujar Sheila yang pernah memenangi Drama Terbaik Anugerah Skrin 2007 menerusi drama Sebuah Ijtihad.
Barangkali ramai yang tidak tahu, Ampunkan Daku sebenarnya bukanlah tajuk asal untuk drama ini. Sebaliknya, Sheila telah menggunakan judul Diari Anak Haram yang dilihat bersesuaian dengan perjalanan drama ini.
Namun, selepas dinilai, pihak TV3 selaku stesen penyiar merasakan tajuk itu kedengaran sedikit 'keras' dan bimbang ada yang akan salah tafsir serta mencuit sensitiviti masyarakat di negara ini jika judul itu terus digunakan.
Selepas berbincang dengan TV3, Sheila akur dengan kehendak stesen itu yang akhirnya memilih tajuk Ampunkan Daku.
"Saya tidak kisah tentang soal tajuk tetapi apa yang saya mahukan intipati drama ini mampu memberikan pengajaran yang berguna kepada seluruh masyarakat di negara ini.
"Hanya menerusi drama ini sahajalah, saya dapat membantu semua pihak untuk mengurangkan gejala sosial di negara ini. Mungkin tidak secara total, tetapi jika ada yang mengambilnya dari sudut yang positif, ia sudah cukup menggembirakan saya," ujar aktres yang mula menempa nama menerusi filem Hantu Siang arahan A.R. Badul pada tahun 1986 ini lagi.
Selain Sheila turut membintangi drama ini termasuklah Zamarul Hisham, Fauziah Nawi, Zila Bakarin, Fezrul Khan, Mak Engku dan Erin Malek.
Bukan itu sahaja, drama Ampunkan Daku juga memperlihatkan keberanian Sheila mengambil beberapa orang pelakon baru iaitu Melia Aimiellia, Falisha Rossley, Farah, Zulyda Fatiha dan Zahera bagi membawakan watak-watak remaja yang menghuni pusat pelindungan itu.
Ketika diajukan soalan itu, Sheila mempunyai justifikasi sendiri sambil memberitahu industri hiburan tempatan sebenarnya kekurangan pelakon yang berkualiti.
No comments:
Post a Comment