Mengulangi fenomena Sheila Majid
TANPA perlu pengenalan diri atau sesi promosi luar biasa, Datuk Sheila Majid sudah tentu boleh menarik nafas lega pada masa ini.
Semuanya kerana, penjualan tiket konsert solo beliau, Sheila Majid 25 Years, Radiance Celebration Live in Jakarta menunjukkan perkembangan yang cukup memberangsangkan.
Sehingga awal minggu ini juga, tiket-tiket konsert penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu Sinaran, Gemilang dan Pengemis Muda ini sudah terjual lebih 50 peratus.
Seperti juga di Malaysia, budaya membeli tiket konsert di saat-saat akhir sudah menjadi kelaziman dan dijangkakan penjualan tiket konsert berkenaan akan melonjak dalam masa sehari dua lagi.
Kurang daripada seminggu, Sheila akan beraksi di pentas Pusat Konvensyen Jakarta (JCC), Jakarta, Indonesia.
Konsert solo itu amat bermakna buat penghibur genit yang disayangi ramai bukan saja di Malaysia, bahkan peminat-peminat seni Indonesia sendiri yang memandang tinggi kedudukannya di persada seni negara itu.
Ketika Sheila sukar mengadakan konsert solo di Malaysia, penganjuran pertunjukkan ini terlalu penting untuk catatan rekod seni beliau yang sudah menghampiri usia suku abad.
Meraikan ulang tahun pembabitannya selama 25 tahun di Jakarta, Sheila bertuah kerana konsert solonya itu mendapat sokongan padu daripada penaja.
Iklan konsert solonya yang dibawakan khas oleh pengeluar produk kecantikan wanita popular, Pond’s disiarkan di beberapa saluran televisyen utama pada waktu perdana.
Itu belum lagi, iklan di akhbar dan majalah serta liputan yang cukup positif daripada wartawan-wartawan antarabangsa.
Bahkan papan iklan besar turut digantungkan di beberapa kawasan utama di sekitar Jakarta.
Sementara pada risalah iklan serta poster konsert Sheila pula tertera lebih 40 senarai penaja bersama yang merangkumi logo hotel rasmi, radio rasmi, pelbagai media cetak dan elektronik, syarikat pelancongan dan lain-lain.
“Sheila Majid mempunyai tarikan dan keistimewaan tersendiri bagi kami rakyat Indonesia. Bahasa muziknya berada di kelas tersendiri.
“Kerana itu, dia mudah diterima di sini biarpun sudah lama Sheila tidak mengadakan konsert solo,” kata penganjur konsert Sheila yang juga pengasas syarikat promoter konsert, Tarunia Indowira Sejati (TIS Communication), Marsita Kaelani pada satu pertemuan dengan Hits di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.
Marsita juga memberitahu, selain penerimaan baik peminat seni Indonesia, sebab lain yang mendorong beliau membawa Sheila beraksi di Jakarta ialah kerana, artis-artis dari negara jiran tidak boleh dilupakan dengan sewenang-wenangnya.
Usahawan itu memberi contoh bagaimana promoter-promoter pertunjukkan pentas Indonesia yang lebih ghairah membawa artis-artis Barat ke negara itu sehingga sepanjang tahun 2011 ini, negara itu akan dibanjiri dengan kehadiran artis Hollywood.
“Orang-orang Indonesia selalu lupa pada artis-artis di negara jiran tetangga. Kerana itu, saya beria-ia mahu membawa Sheila mengadakan persembahan di sini.
“Sheila punya pengaruh. Peminatnya juga besar jumlahnya. Lagipun Sheila dan peminat di sini menggunakan bahasa yang sama. Lalu, tidak ada sebab untuk saya tidak menganjurkan konsert untuk beliau di sini,” jelas Marsita penuh optimis konsert itu akan mencapai kejayaan memberangsangkan.
No comments:
Post a Comment