DARI minggu pertama hingga ke lima, Leman atau Sulaiman Ibrahim, 29, sering mendapat undian tertinggi daripada para penonton rancangan Raja Lawak musim ke lima (RL5) berbanding peserta lain.
Jumaat lalu, selepas selesai Gelanggang Raja Lawak 5 yang disiarkan secara langsung, Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani memberitahu, Leman mendapat undian sebanyak 18 peratus berbanding rakan-rakan lain yang mendapat peratusan antara 10 hingga 14.
Pada pandangan penulis, dilihat dari segi persembahan pemuda yang berasal dari Kedah itu, lawaknya tidaklah terlalu mencuit hati berbanding persembahan Nazmi atau Epy.
Namun, siapa sangka itulah rezeki Leman yang sentiasa mendapat kedudukan selesa setiap kali mengadakan persembahan tidak kiralah lawaknya bermutu atau tidak.
Malah Leman, sewaktu ditemui selepas persembahan baru-baru ini di Studio Finas, Hulu Klang, berkata, beliau sendiri tidak faham kenapa setiap minggu undian untuknya sentiasa tinggi.
“Sebenarnya malam ini persembahan saya kurang menarik kerana banyak perkara yang saya lupa untuk diperkatakan.
“Apa yang saya berlatih sebelum ini tidak dapat ditampilkan 100 peratus tadi kerana lupa dan sebab itulah saya ubah corak persembahan,” ceritanya.
Pada persembahan yang menampilkan tema komedi muzikal itu, Leman mengambil isu semasa iaitu tentang cicak tokek, spesis yang dipercayai boleh mengubat pelbagai penyakit itu.
Juri tetap, Sathiya sewaktu memberi kritikan tentang persembahan Leman berkata, Leman tidak sehebat peserta lain kerana isu yang dikemukakan hanya difahami oleh penduduk di sebelah utara sahaja.
Bagaimanapun Leman mempunyai persepsinya sendiri kenapa beliau memilih untuk menjadikan cicak tokek sebagai bahan lawaknya.
“Saya sendiri pernah bela dan jual tokek. Lagipun sekarang ini orang hangat bercerita tentang tokek, jadi saya pun ambil peluang untuk dijadikan cerita.
“Kalau penonton di studio tidak faham apa yang saya cerita, saya tidak merasa terkilan kerana sasaran saya adalah penonton di luar sana yang lebih ramai berbanding kira-kira 250 orang yang berada di sini,” katanya terus terang.
Leman yang mengaku boleh bertutur dan faham bahasa Siam sekitar 75 peratus itu berkata, walaupun beliau tidak faham kenapa undiannya sentiasa tinggi tetap berharap perjuangannya dalam program realiti itu sampai ke penghujung jalan.
Sementara itu, kumpulan Pukaw yang dianggotai oleh Indra, Ai dan Kecik dari Johor Bahru mendapat peratusan paling rendah, 10 peratus.
Menurut Indra, mereka sudah biasa dengan undian rendah kerana setiap minggu nama Pukaw sering berada di bawah dan minggu ini mereka bernasib baik kerana tidak ada penyingkiran.
Afdlin Shauki sewaktu menilai persembahan Pukaw berkata, beliau terseksa menonton lawak kumpulan itu kerana genre komedi muzikal adalah yang paling digemarinya, namun mereka gagal.
“Awak belum dapat beri persembahan menarik, kalau tidak cuba dengan lebih gigih, jangan terkejut kalau minggu depan awak semua balik rumah,” katanya tanpa berselindung.
Berdasarkan kritikan Afdlin itu, Indra mengakui yang Pukaw kurang idea kreatif untuk ditonjolkan pada persembahan itu.
No comments:
Post a Comment