id=khairul4189">
Sunday, February 13, 2011
Nasi Lemak Kopi O lebih pedas
MEMASUKI tahun keempat bersiaran, stesen televisyen yang terkenal dengan tagline Di Hatiku, TV9 kini dilihat semakin matang dalam menyajikan program-program terbitan mereka.
Demi mengambil hati penonton setia stesen TV milik Media Prima itu, tampil dengan memperkasakan rancangan bual bicara paling popular hujung minggu, Nasi Lemak Kopi O (NLKO) yang mula diterbitkan dua tahun lalu.
Masih lagi mampat dengan laporan isu-isu terkini, NLKO 2011 menampilkan wajah-wajah baru selaku hos yang bakal menemani penonton selama dua jam mereka bersiaran.
Selain mengekalkan muka-muka lama seperti Aziz Desa, Sharifah Shahira, Farah Anuar, Farah Adeeba, Syarifah Nur dan Abu Talib yang mempunyai gaya penyampaian yang tersendiri, NLKO kini mempertaruhkan pula kejelitaan serta bakat finalis Gadis Melayu (GM) musim ketiga, Fatheen Nabila Ghazali atau Fatheen sebagi hos baru rancangan itu.
Bukan Fatheen seorang sahaja, malah dua jejaka yang sememangnya telah diperakui bakat pengacaraan mereka turut menjadi taruhan terbaru dalam NLKO.
Mereka yang dimaksudkan ialah Azmir Selamat atau lebih dikenali sebagi AG dan juga pelakon kacak, Asraf Muslim.
Bagi Penerbit Eksekutif TV9, Wan Sabariah Shikh Ali yang ditemui di Sri Pentas baru-baru ini, pemilihan Fatheen dan AG mempunyai alasan yang tersendiri.
Katanya, populariti AG selaku deejay Hot FM adalah bonus buat NLKO untuk meningkatkan jumlah penonton kerana AG mempunyai bilangan peminat yang ramai.
“Malahan, kredibiliti AG mengacara program yang disiarkan secara langsung sudah terbukti ketika dia menjadi hos rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) selama empat tahun.
“Jadi, sudah jelas mengapa AG dipilih untuk melengkapkan barisan pengacara NLKO tahun ini,” katanya sejurus siaran langsung NLKO tamat, Jumaat lalu.
Mengulas mengenai pemilihan Fatheen, jelas Wan Sabariah, gadis itu mempunyai karisma sebagai seorang pengacara yang boleh dibentuk untuk lebih maju.
Lagi pun, katanya, NLKO juga ingin mengetengahkan produk keluaran TV9 yang berkebolehan agar bakat yang dicungkil tidak dipersiakan begitu sahaja.
“Tambahan, sesebuah menu (NLKO) yang mendapat sambutan ramai perlu dihidangkan dengan perencah yang segar dan berbeza untuk memberi pilihan kepada penggemar,” jelas Wan Sabariah.
Dalam pada itu, segmen baru yang diselitkan dalam NLKO, Penyakit Orang Kampung akan dikendalikan oleh Ashraf Muslim, pelakon yang kini bekerja di pusat perubatan tradisional berlandaskan Islam dan al-Quran.
Selain mengetengahkan hos baru, NLKO juga bertambah ceria dengan set yang baru berkonsepkan kafeteria.
“Sebelum ini set NLKO berkonsepkan warung yang lazimnya terdapat di kampung-kampung.
“Tapi zaman dah moden sekarang, nasi lemak pun dah dijual di kafeteria dan restoran-restoran mewah,” seloroh Wan Sabariah.
NLKO bersiaran pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad selama dua jam bermula pukul 8 hingga 10 pagi di saluran TV9.
Sumber UTUSAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment