SEBAGAI seorang yang membesar dengan lagu-lagu dendangannya sejak, penulis harus mengakui Francissca Peter telah meninggalkan impak yang bukan sedikit dalam hidup penulis.
Setiap lagu nyanyiannya mempunyai memori dan kenangan yang tersendiri buat diri penulis yang terus bersemadi sehingga ke hari ini.
Kerana itu, penulis berasa cukup teruja dan tidak mahu ketinggalan menonton Konsert Keunggulan 33 Tahun Francissca Peter yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) malam Sabtu lalu.
Penulis tahu konsert sulung penghibur itu bagaikan satu kemestian dan tidak wajar dilepaskan begitu sahaja. Malah, penulis optimis bahawa konsert itu pastinya tidak akan mengecewakan peminat tegar Francissca seperti penulis dan barangkali peminat-peminat yang lain.
Apatah lagi dengan koleksi rangkaian lagu-lagu popularnya yang sudah bertaraf malar segar itu mengukuhkan lagi justifikasi penulis bahawa tiada ragu, konsert ini mampu meninggalkan impak kepada audiens.
Ternyata telahan itu tidak langsung silap. Sepanjang dua jam setengah menonton persembahan penyanyi yang dilahirkan di Klang, Selangor ini, Francissca atau lebih dikenali dengan nama pentasnya, Fran berjaya membawa penulis dan audiens yang lain menyelusuri terowong masa dengan lagu-lagunya.
Berbekalkan vokal yang cukup mantap dan bertenaga, Fran langsung tidak mengecewakan peminat setianya yang sememangnya menanti dari awal untuk menikmati lagu-lagu nyanyiannya yang lebih 30 buah lagu itu.
Tidak sebuah lagu pun yang tertinggal dalam konsert ini lalu menjadikan ia salah sebuah konsert terbaik yang pernah dipersembahkan di pentas bertaraf antarabangsa itu.
Namun, ia bukan bermakna konsert yang diterbitkan oleh Eye Design itu merupakan sebuah produksi yang sempurna. Masih terdapat cacat-cela yang sepatutnya boleh diperbaiki dan semuanya itu ditutup dengan kemantapan vokal Fran yang tiada tandingan itu.
Cuma, timbul sedikit rasa ralat kerana lagu Komputer Muzik yang merupakan lagu popular dari album solo pertamanya pada tahun 1984 itu tidak dipilih dalam repertoire lagu untuk konsert sulung Fran ini.
Dalam usianya yang sudah mencecah 50 tahun itu, Fran memang sudah membuktikan dia adalah antara penyanyi wanita terbaik negara yang berada dalam kelasnya yang tersendiri.
Kesemua lagu dinyanyikan Fran dengan cukup sempurna dan tidak keterlaluan dikatakan, kualiti vokalnya masih lagi sama jika didengar menerusi cakera padat.
Nyanyiannya cukup jelas dan terang. Malah, penghayatan Fran untuk setiap lagu juga berjaya menjentik emosi penonton yang turut sama larut dalam persembahannya terutama untuk lagu-lagu balada dan sentimental.
Ku Ke Udara Lagi!, Si Mata Merah, Aku Hanya Pendatang, Akulah Kekasihmu, Sekadar Di Pinggiran, Aku Kehilanganmu, Kau Lilin Cintaku, Diriku Terbelenggu, Si Kunang Kunang dan Mawar Terpinggir sudah cukup untuk melengkapkan perjalanan konsert sulung Fran itu.
Kerana koleksi lagu-lagunya yang cukup banyak itu juga, beberapa lagu popularnya telah dijadikan medley iaitu Kau Bintangku, Digenggam Sepi, Andainya dan Masih Belum Terlambat.
Semuanya dinyanyikan peminatnya tanpa perlu disuruh dan jelas kelihatan setiap seorang daripada mereka yang hadir menampakkan mulut mereka terkumat-kamit menyanyi mengiringi lagu-lagu Fran.
Ketika lagu-lagu ini disampaikan, sempat lagi penulis berbisik kepada teman di sebelah dengan memberitahunya : “Konsert Fran ini membuatkan saya mahu kembali kepada zaman kanak-kanak saya. Dia berjaya mengimbau kenangan lalu saya dengan lagu-lagunya.”
Lalu teman tadi hanya tersenyum dan memandang penulis sambil mengangguk tanda setuju bahawa dia juga mempunyai pandangan yang sama seperti penulis.
Konsert itu juga mencipta momennya sendiri apabila komposer tersohor, Manan Ngah diundang mengiringi nyanyian Fran menerusi lagu Kerna Terpaksa yang mengundang tepukan gemuruh daripada audiens.
“Bayangkan hampir 24 tahun kami tidak bekerjasama dan malam ini, kami bersatu kembali meskipun bukan untuk rakaman lagu baru,” ujar Manan ringkas sambil Fran ketawa kecil di sisinya.
Memang wajar Manan diundang ke konsert itu kerana tidak dapat dinafikan lagi, peranan komposer itu dalam memacu karier seni Fran memang cukup besar sehingga menjadikan kolaborasi mereka sebagai antara yang terbaik dalam sejarah industri muzik tempatan.
Buktinya, kehebatan lagu Sekadar Di Pinggiran telah menobatkan mereka sebagai pemenang pertama pada Anugerah Juara Lagu 1986.
Malam itu juga penonton dibuai dengan nostalgia silam apabila teman duet Fran yang cukup serasi iaitu Royston Sta Maria atau Roy juga diundang untuk menyampaikan lagu-lagu duet popular mereka.
Ternyata pengaruh dan populariti mereka masih lagi utuh serta diterima dengan baik oleh peminat-peminat mereka khususnya Roy yang sudah 23 tahun meninggalkan bumi Malaysia dan kini menetap di Perth, Australia.
Tiga lagu mereka iaitu Bersama Pertemuan Ini, Siapa Dia Sebelum Daku dan Tak Kenal Maka Tak Cinta sudah cukup membuatkan Panggung Sari bergegar dengan jeritan dan sorakan penonton.
Fran atau nama sebenarnya Francissca Luciana Peter juga tidak melupakan menyanyikan lagu patriotik yang cukup popular satu ketika dulu, Setia. Populariti lagu itu juga telah merobah senario muzik patriotik sehingga mampu diterima dengan baik setaraf dengan lagu komersial.
Tidak dilupakan, lagu Kehebatan Cinta yang pernah dinyanyikan secara duet oleh Fran dan Jamal Abdillah juga diabadikan dalam konsert itu namun pasangannya bukan Jamal tetapi Imran Ajmain.
Biarpun duet tersebut kedengaran sedikit canggung, tetapi Imran menyampaikan lagu itu dengan caranya tersendiri tanpa perlu mengikut lenggok nyanyian Jamal.
Secara eksklusif juga pada konsert itu, Fran mendendangkan lagu terbarunya, Tiada Gementar Lagi yang diciptanya bersama Imran.
Kecemerlangan konsert itu juga tidak hanya terletak kepada kehebatan nyanyian Fran tetapi susunan muzik yang segar dan bertenaga di bawah pimpinan maestro muzik terkenal, Datuk Ramli M.S.
Tidak ketinggalan hadir menonton konsert pada malam kedua itu ialah Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini; penghibur malar segar, Salamiah Hassan serta penyanyi remaja, Dafi yang menemani ibunya, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.
Secara keseluruhan, Konsert Keunggulan 33 Tahun Francissca Peter merupakan salah sebuah konsert yang berjaya walaupun ada segelintir pihak yang pada mulanya skeptikal dengan kemampuan dan populariti Fran untuk beraksi di pentas penuh prestij itu.
i luv fran.........
ReplyDelete