BIARPUN mendominasi pencalonan Anugerah Grammy Ke-53 dengan 10 kategori, bagi Eminem, dia tidak mahu meletakkan sebarang harapan tinggi untuk memenangi kesemua kategori itu.
Apa yang penting bagi penyanyi kontroversi itu hasil penat lelahnya berbalas apabila diiktiraf oleh pihak juri yang merasakan albumnya, Recovery layak untuk dicalonkan bersama barisan calon terbaik yang lain.
“Walaupun ramai yang meramalkan saya akan menang besar pada malam Grammy nanti, namun, saya penuh yakin bahawa saya akan pulang dengan tangan kosong
“Bukan tidak yakin dengan album saya Recovery itu, tetapi, apabila memperkatakan tentang Grammy segala kemungkinan boleh berlaku. Kejutan sudah menjadi satu kemestian dalam anugerah itu.
“Jadi, kerana itu adalah lebih baik untuk saya tidak terlalu memikirkan tentang soal kemenangan. Seandainya, malam itu rezeki berpihak kepada saya, saya hanya mampu bersyukur dan menerima pengiktirafan itu dengan hati yang terbuka,” jelas Eminem dalam satu temu bual bersama MTV baru-baru ini.
Sememangnya nama Eminem menjadi perhatian untuk Grammy tahun ini memandangkan dia merupakan satu-satunya artis yang mendapat pencalonan terbanyak termasuk untuk tiga kategori utama iaitu Album, Rekod dan Lagu Terbaik.
Bagi kategori Album Terbaik, Recovery bakal ditentang hebat dengan empat album lain yang tidak kurang hebatnya iaitu album The Suburbs oleh Arcade Fire, Need You Now (Lady Antebellum), The Fame Monster (Lady Gaga) dan Teenage Dream (Katy Perry).
Sementara itu, untuk kategori Rekod dan Lagu Terbaik pula, Eminem dicalonkan menerusi lagu Love The Way You Lie yang dinyanyikan bersama penyanyi seksi, Rihanna.
Bukan hanya peminat tetapi pengkritik dan wartawan muzik di Hollywood dengan penuh yakin meramalkan Eminem akan menang besar pada malam yang meraikan karyawan muzik Amerika Syarikat itu.
Bagi mereka, album Recovery merupakan lambang kebangkitan Eminem dalam bidang muzik selepas melalui pelbagai masalah dan kesukaran untuk mengembalikan keyakinan peminat terhadap muziknya.
Ditambah dengan kebangkitan penyanyi baru yang tampil dengan muzik yang lebih segar dan moden, muzik rap yang diperjuangkan Eminem sejak azali dilihat semakin dipinggirkan.
Mungkin ramai yang tidak sedar, beberapa tahun kebelakangan ini, nama Eminem tidak sehangat ketika dia muncul dengan album keramatnya, The Marshall Mathers LP yang memuatkan lagu popular, The Real Slim Shady sekitar 10 tahun lalu.
Ekoran itu juga, pencapaian album-albumnya selepas itu juga tidak begitu memberangsangkan biarpun ada di antaranya pernah memenangi Grammy untuk kategori rap.
Apabila Eminem atau nama sebenarnya, Marshall Bruce Mathers III muncul dengan album Recovery, para pemerhati dan karyawan muzik Hollywood merasakan ia adalah produk terbaik daripada Eminem sekali gus berpotensi untuk menang besar pada malam Grammy nanti.
Jika benar ramalan mereka, Eminem mampu tersenyum puas dan bangga sekali gus dapat menambahkan lagi koleksi anugerah Grammy yang sehingga kini sudah 11 buah trofi di dalam genggamannya.
Apatah lagi, Grammy cukup gemarkan kisah kemunculan semula atau comeback seseorang artis yang berdepan dengan masa sukar yang kemudiannya kembali ke persada muzik dengan semangat baru.
Sebagai contoh, Tina Turner pernah melalui laluan yang sukar dalam hidupnya dengan dihimpit kisah peribadinya bersama bekas suami, Ike sehingga menjejaskan karier seninya.
Namun, apabila dia muncul dengan album Private Dancer pada tahun 1984, ia boleh dikatakan tahun kebangkitannya sebagai seorang penghibur apabila memenangi empat anugerah daripada enam kategori yang dicalonkan pada Grammy setahun selepas itu.
Ini termasuklah untuk Rekod dan Persembahan Vokal Pop Wanita Terbaik bagi lagu What’s Love Got To Do With It yang sehingga kini menjadi siulan peminat muzik di seluruh dunia. Dalam majlis yang sama, Turner turut membawa pulang trofi Persembahan Vokal Rock Wanita Terbaik bagi lagu Better Be Good To Me.
Selain Eminem, penyanyi R&B, Bruno Mars mengekori rapat dengan tujuh pencalonan termasuk Rekod Terbaik bagi lagu Nothin' On You dan Lagu Terbaik (F*** You!).
Bukan itu sahaja, Mars juga akan bersaing hebat dengan empat penyanyi lelaki hebat lain iaitu Michael Buble, Michael Jackson, Adam Lambert dan John Mayer bagi merebut trofi Persembahan Vokal Pop Lelaki Terbaik.
Apa yang menariknya tentang Grammy, penganjuran dan pengiktirafannya tidak terletak kepada populariti seseorang artis mahupun tertumpu kepada sesuatu genre muzik sahaja.
Sebaliknya, ia mengiktiraf hasil kerja terbaik dalam setiap genre muzik di Amerika Syarikat maka itu, tidak hairanlah apabila ia menyediakan 109 trofi untuk lebih 20 kategori yang dipertandingkan dalam acara penuh prestij itu.
Seorang lagi bintang ternama, Lady Gaga juga dikatakan bakal memberi saingan yang sengit kepada Eminem untuk dinobatkan sebagai Album Terbaik. Dalam masa yang sama, penghibur berimej pelik itu turut tercalon dalam kategori Rakaman Dance Terbaik bagi lagu Dance In The Dark.
Kolaborasi Lady Gaga bersama Beyonce Knowles menerusi lagu Telephone juga membuahkan hasil apabila dicalonkan untuk Kolaborasi Pop Vokal Terbaik dan Gaga sendiri menerima pencalonan dalam kategori Persembahan Vokal Pop Wanita Terbaik bagi lagu Bad Romance.
Kemunculan siri televisyen popular, Glee juga mendapat tempat dalam anugerah muzik terulung Amerika Syarikat itu apabila barisan pelakonnya dicalonkan dalam kategori Persembahan Vokal Pop Duo atau Berkumpulan Terbaik bagi lagu Don’t Stop Believin.
Album runut bunyi, Glee, The Music: Volume 1 turut dicalonkan untuk kategori Album Runut Bunyi Filem atau Televisyen dan bersaing dengan album Crazy Heart, Treme, True Blood: Volume 2 dan The Twilight Saga: Eclipse.
Salah satu kategori yang mendapat perhatian saban tahun adalah genre country yang tidak kurang hebatnya.
Sebanyak tujuh kategori country dipertandingkan untuk edisi ke-53 termasuklah Album Country Terbaik yang pastinya memperlihatkan saingan yang cukup hebat antara Lady Antebellum dan Miranda Lambert di mana masing-masing mempertaruhkan album Need You Now dan Revolution.
Bukan itu sahaja, Lady Antebellum dan Lambert juga dicalonkan dalam kategori Lagu Country Terbaik menerusi lagu Need You Now dan The House That Built Me.
Juara American Idol musim keempat, Carrie Underwood sekali lagi menjadi perhatian tahun ini apabila menerima pencalonan Grammy kelapan menerusi kategori Persembahan Vokal Country Wanita Terbaik.
Dicalonkan menerusi lagu Temporary Home, pastinya saingan Underwood kali ini bukanlah sesuatu yang harus dipandang enteng kerana empat calon lain juga bukan calang-calang artis.
Mereka yang dimaksudkan ialah Miranda Lambert, LeAnn Rimes, Jewel dan Gretchen Wilson. Jika Underwood menang pada malam itu, ia merupakan kemenangan keenam penyanyi popular itu sejak dicalonkan untuk Grammy pada tahun 2007.
Sememangnya, Underwood bukanlah nama asing dalam kategori ini kerana dia sudah memenanginya untuk tiga tahun berturut-turut sejak 2007 hingga 2009.
Cuma, tahun lalu dia tewas di tangan Taylor Swift untuk kategori itu namun menebus kekecewaannya apabila memenangi Kolaborasi Country Terbaik bagi lagu I Told You So bersama Randy Travis.
Sudah namanya pun Grammy. Apalah erti acara penuh gilang-gemilang itu tanpa dibarisi persembahan artis bagi memantapkan lagi perjalanan anugerah itu.
Antara nama-nama yang sudah disahkan akan membuat persembahan pada malam itu ialah Eminem, Paramore, Katy Perry, Muse, Bruno Mars, Miranda Lambert, Lady Gaga serta Usher, Justin Bieber dan Jaden Smith.
Penghibur malar segar, Barbra Streisand juga akan membuat persembahan selain vokalis kumpulan rock terkenal, Rolling Stones, Mick Jagger yang akan berduet dengan Raphael Saddiq.
Sebuah persembahan khas sebagai tanda penghormatan kepada penghibur terkemuka, Aretha Franklin juga akan diadakan dan lima penyanyi wanita ternama akan menyampaikan lagu-lagu popular Franklin iaitu Christina Aguilera, Jennifer Hudson, Martina McBride, Florence Welch dan Yolanda Adams.
Sumber UTUSAN
No comments:
Post a Comment